KOTA BHARU: Seramai 28,964 murid tahun memulakan alam persekolahan di 418 buah sekolah di seluruh negeri bagi penggal 2024/2025 yang bermula secara rasmi hari ini.
Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Zamri Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu merekodkan murid tahun satu paling ramai iaitu 9,053 orang.
“Diikuti Pasir Mas 3,230 dan Kuala Krai (2,960 murid), manakala Jeli merekodkan kemasukan murid tahun satu terendah dengan hanya 832 murid.
“Untuk sekolah menengah pula, seramai 90,335 orang pelajar telah memulakan sesi hari pertama melibatkan 177 buah sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan sempena pertama pembukaan sekolah sesi akademik 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan Ismail Petra 1, di sini hari ini.
Mohd. Zamri memberitahu, untuk minggu pertama persekolahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyarankan agar tiada sesi pembelajaran atau kelas secara biasa diadakan.
“Untuk minggu pertama kita mahu anak-anak kita bermula peringkat pra-sekolah sehingga ke tingkatan lima menyesuaikan diri dengan alam persekolahan terlebih dahulu, terutama murid-murid di sekolah rendah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Zamri berkata, bagi menghadapi cuaca panas semua sekolah-sekolah telah diarahkan supaya sentiasa peka dengan sebarang perubahan cuaca.-UTUSAN










