JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen, di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM50,000 terhadap seorang lelaki warga Indonesia selepas mengaku bersalah memiliki lima ekor burung murai batu, iaitu spesies yang dilindungi.
Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim turut memerintahkan Sadiyo, 27, dipenjara satu tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Lelaki itu gagal membayar jumlah denda yang dikenakan terhadapnya.
Berdasarkan fakta kes, lima pegawai penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama-sama tujuh pegawai polis cawangan risik Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menjalankan pemeriksaan di premis kediaman pekerja di Jalan Tanah Merah, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Khamis lalu.
Hasil pemeriksaan pada pukul 9.15 malam itu telah menjumpai lima ekor burung murai batu (copsychus malabaricus) yang dimiliki lelaki tersebut dan dia gagal mengemukakan sebarang dokumen atau surat kebenaran yang sah daripada Perhilitan untuk menyimpan unggas berkenaan.
Dalam rayuannya, Sadiyo memaklumkan dia yang baru tiba dari Indonesia tidak tahu mengenai undang-undang di negara ini yang memerlukan dokumen untuk menyimpan hidupan liar tersebut.
Dia yang tidak diwakili peguam bela memberitahu, pendapatan hariannya sebagai pekerja ladang adalah RM50 sehari dan tidak mampu untuk membayar denda tersebut.
“Saya masih baru di sini dan tidak tahu mengenai undang-undang di Malaysia bahawa membela burung murai batu adalah salah. Ini hobi saya ketika di kampung (Indonesia),” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan, Anongrakh Wechit berkata, terdapat keperluan bagi hukuman yang berbentuk pencegahan selaras dengan tujuan pindaan Akta 716 yang telah diwartakan pada 10 Februari 2022 dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 2023.
“Seksyen 60(2) telah dibuat pindaan dengan denda yang lebih tinggi, iaitu denda tidak kurang RM50,000, bagi memastikan jenayah berkaitan hidupan liar ini boleh dibanteras berikutan sindiket penyeludupan dan penjualan haram yang semakin berleluasa,” katanya.
Anggaran harga burung murai batu dalam pasaran gelap boleh mencecah sehingga hingga RM20,000 bergantung dengan panjang ekor dan suara burung. – UTUSAN










