PETALING JAYA: “Usah sombong walau berkuasa kerana kuasa itu sementara saja. Kita tidak dikenang kerana kuasa kita tetapi kita akan dikenang kerana kebijaksanaan dan prestasi serta integriti kita dalam perkhidmatan”.
Demikian nasihat bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang dipercayai ditujukan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
“Agak hangat di media sosial dan di mana-mana jua, isu Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia ‘dipecat’ atau di turun pangkat. Katanya atas arahan menteri. Entah benar entah tidak itulah yang tersebar luas sekarang.
“Seseorang menteri walaupun berkuasa perlu bijaksana dalam menjalankan tugasnya. Menteri umpama seorang bapa di kementeriannya, perlu sentiasa prihatin, cakna, sedia mendengar dan memandu arah dengan kerjasama penuh pegawai pegawai kementerian
“Menteri walaupun berkuasa tidak boleh bertindak sembrono,rakus dan sombong dengan kuasa,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook, hari ini
Terdahulu, tular di media sosial surat bertarikh 22 Februari yang memaklumkan penamatan khidmat Datuk Dr Ammar Abd Ghapar sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia berkuat kuasa pada 26 Februari ini.
Bagaimanapun, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menafikan Dr. Ammar dipecat sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan sebaliknya beliau diturunkan pangkat menjadi Timbalan Ketua Pengarah.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga merupakan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu berkata, penting untuk seorang menteri menghormati para pegawainya terutama mereka yang sudah lama berkhidmat dan berpengalaman.
“Walau kita seorang menteri, bukan bermakna kita tahu semua atau lebih pandai dari pegawai. Seorang Menteri yang baik ialah seseorang yang dapat memenangi hati pegawai,menjadikan mereka hormat dan bermotivasi untuk berkhidmat bersama menteri.
“Perkhidmatan awam Malaysia mempunyai barisan pegawai kanan yang berkebolehan dan berpengalaman. Janganlah rakus dan sombong dengan mereka, orang politik walau berkuasa perlukan nasihat dan pandangan pegawai-pegawai awam,” katanya. – UTUSAN









