TMB Kelantan tegur sikap pekerja kedai makan kurang mesra pelanggan

TMB Kelantan tegur sikap pekerja kedai makan kurang mesra pelanggan

MOHAMED FADZLI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan secara terbuka menegur sikap kurang mesra pelanggan yang ditunjukan oleh pekerja sebuah kedai makan di negeri ini.

Mohamed Fadzli berkata, beliau bimbang sikap yang tidak menggambarkan budaya sebenar rakyat Kelantan itu boleh mencemarkan nama baik negeri ini.

Menurutnya, hal ini kerana kerajaan negeri telah mengisytiharkan 2024 sebagai Tahun Melawat Kelantan dengan tema ‘food, family and festival’.

“Pagi semalam (kelmarin) kami (saya bersama keluarga) singgah di sebuah restoran yang agak terkenal satu masa dulu di Kota Bharu selepas dimaklumkan penerbangan ke Kuala Lumpur tertangguh satu jam setengah.

“Jadi, kami buat keputusan pulang semula ke Kota Bharu untuk makan pagi kerana tidak sempat untuk berbuat demikian di rumah kerana takut terlepas penerbangan. Disebabkan teringat kenangan lalu, kami singgah di restoran berkenaan.

“Kedainya biasa saja tapi makanannya sedap. Namun, saya rasa agak kecewa apabila tiada seorang daripada pekerja di restoran berkenaan yang murah dengan senyuman apa lagi ramah mesra dan melayan pelanggan dengan sikap endah tak endah sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu memberitahu, walaupun premis berkenaan mampu menjaga kualiti makanan tetapi mereka gagal menjaga hati pelanggan. 

Katanya, sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 beliau mahu seluruh peniaga menyambut kedatangan pelancong atau pelanggan dengan ramah mesra dan berbudi bahasa.

“Pada masa sama, pastikan premis perniagaan sentiasa bersih, indah dan ceria. Biar kita sentiasa mengukir senyuman terutama yang berada di barisan hadapan. 

“Sapalah dengan kelembutan budi dan amal perbuatan biarlah nampak lemah lembut dan tersusun. Soal harga, pastikan kita berlumba-lumba nak menawarkan yang terbaik terutama kepada tetamu dari luar,” ujarnya.

Mohamad Fadzli berkata, peniaga turut diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan caj berganda bila tetamu tidak bertutur dalam dialek Kelantan.

“Orang Kelantan sendiri pun ramai dah sekarang yang bercakap ‘bahasa standar’ (Bahasa Melayu) walaupun berada di Kelantan. 

“Berbudi asalkan jangan rugi. Insya-Allah, Allah bagi keuntungan berganda. Kita tak akan rugi dengan berbudi,” tegasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×