PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang mengalahguna petrol bersubsidi RON95.
Jurucakap kepada KPDN berkata, pemantauan akan dilakukan secara teliti sempena sambutan Tahun Baru Cina ini berikutan diyakini bilangan kenderaan dari merentasi sempadan masuk ke dalam negara meningkat.
Katanya, jumlah kereta yang banyak mengisi petrol di stesen minyak dalam negara juga akan meningkat berbeza daripada hari biasa.
Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangka lebih empat juta kenderaan dari negara jiran bakal melalui laluan tambak ke Johor Bahru untuk masuk ke negara ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Justeru itu, KPDN memerlukan kerjasama orang ramai bagi mengenalpasti kenderaan terutamanya menggunakan nombor pendaftaran asing yang mengambil kesempatan mengisi petrol RON95.
“Dalam masa yang sama, KPDN menasihatkan pengusaha stesen minyak perlu bertanggungjawab terhadap penjualan petrol bersubsidi RON95.
“Pengusaha stesen minyak haruslah mematuhi Syarat Lesen Barang Kawalan Berjadual dan Arahan Pengawal Bekalan yang telah ditetapkan bagi penjualan bahan api terutamanya petrol RON95,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh mengarahkan semua pemilik stesen minyak tidak menjual petrol RON95 kepada kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asing.
Peringatan tersebut diberi beliau berhubung dengan rakaman video kenderaan yang dipercayai dari negara jiran tular awal bulan lalu kerana dipercayai mengambil kesempatan mengisi RON95 di negara ini.
Sehubungan itu, KPDN menjelaskan fenomena tersebut mencetuskan kerisauan terhadap penyeludupan petrol RON95 secara berleluasa yang mana memberi manfaat kepada mereka yang tidak layak iaitu warga asing.
“Justeru itu, jika mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati melanggar Syarat Lesen Barang Kawalan Berjadual dan Arahan Pengawal Bekalan, boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Selain itu,pengusaha stesen minyak tidak sepatutnya menjual melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan dan membenarkan penjualan petrol selain ke dalam tangki asal kenderaan,” katanya.










