Tidak ada MP sokong Anwar selepas ini - Hamzah

Tidak ada MP sokong Anwar selepas ini – Hamzah

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan tidak ada mana-mana ahli Parlimen parti itu bakal menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan selepas ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengatakan bahawa terdapat 10 ahli Parlimen akan menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak benar.

“Itu dakwaan orang yang hilang akal. Sudah hilang akal, dah ‘join’ sana dia terpaksalah buat cerita lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PN di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung dakwaan Syed Abu Hussin yang mengesahkan 10 lagi ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan sokongan terhadap Anwar.

Terdahulu, Syed Abu Hussin mendakwa mereka yang terlibat ialah lima ahli Parlimen dari Utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari negeri Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua dari Selangor dan Melaka.

Syed Abu Hussin berkata sokongan berkenaan akan diumumkan oleh ahli Parlimen terlibat pada 28 Februari ini ketika Sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Dalam pada itu, Hamzah berkata tindakan untuk mendakwa enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri sebelum ini akan diteruskan.

“Tindakan akan tetap diambil terhadap mereka dan perkara itu dalam proses oleh pihak peguam kami,” katanya.

Mereka ialah ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×