PETALING JAYA: Mana-mana pegawai polis yang didapati menerima angpau atau sampul wang ketika menjalankan tugas adalah satu kesalahan.
Itu penegasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika diminta mengulas berhubung penemuan sejumlah angpau di Balai Polis Setapak dekat sini.
Katanya, tindakan menerima sebarang bentuk wang ketika bekerja adalah kesalahan serius sehingga boleh dipersoalkan atau dikaitkan dengan elemen rasuah.
“Tindakan yang dilakukan pihak Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dalam pemeriksaan terhadap anggota balai polis dalam daerah Wangsa Maju itu jelas menunjukkan peringkat penyelia telah mula membuka mata melalui saranan saya pada 1 Februari lalu.
“Jadi, dalam kes ini, penyelia yang bertugas di balai polis berkenaan tidak menjalankan tugas seperti yang disarankan.
“Penyelia yang baik akan buat pemeriksaan dan bukannya ada penemuan angpau,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat Tahun Baharu Cina ke-21 di Persada PLUS di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, JIPS sebagai penyelia mula mengambil tindakan berfungsikan saranan terhadap semua penyelia.
Jelasnya, setiap penyelia perlu memeriksa buku poket anggotanya serta jumlah wang saku tidak boleh melebihi RM100 yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) penugasan.
“Saya nak beri satu contoh, sekiranya anggota terbabit mengisytiharkan jumlah wang sakunya berjumlah RM100 semasa keluar bertugas.
“Namun apabila dia kembali ke balai polis dan didapati mempunyai RM400 kerana telah mengeluarkan wang pada hari gajinya dari bank semasa dalam perjalanan kembali ke balai, ia tidak mempunyai kesalahan selagi dia mampu menunjukkan bukti resit pengeluaran.
“Kalau ada anggota polis yang sedang bercuti dan meraikan Tahun Baharu Cina di rumah rakannya dan dia diberi angpau maka itu adalah dalam situasi lain dan dia tidak bekerja,” katanya.
Media semalam melaporkan JIPS sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas seorang anggota polis yang dikesan menyimpan beberapa angpau mengandungi wang tunai yang diragui sumbernya dalam pemeriksaan di sebuah balai polis di ibu negara, kelmarin.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad dilaporkan berkata, satu kertas siasatan tatatertib dibuka terhadap anggota terbabit. – UTUSAN











