MELAKA: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menawarkan projek pembelian lembu tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM185,137.50, Mei tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Safid Affandi Shamsudin dan Nor Salbiah Johari masing-masing berusia 33 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama memperdayakan Muhammad Safiy Khan Muzair Khan, 35, dengan menawarkan projek tawaran pembelian lembu dari Thailand yang tidak wujud hingga mendorong mangsa menyerahkan wang secara berperingkat berjumlah RM185,137.50 ke dalam akaun Maybank di atas nama Salbiah Farm milik Nor Salbiah Johari.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kafe di Lot 2610 di Malim Jaya dalam daerah Melaka Tengah antara 28 Mei dan 29 Mei 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom yang menawarkan jaminan RM90,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan.
Tertuduh diwakili peguam Muhammad Denial Khairul Hizam merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya berniaga sendiri manakala isterinya seorang jururawat selain menanggung dua anak berusia dua dan empat tahun serta abang orang kurang upaya dan ibu yang uzur.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 setiap seorang berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan serta pasport diserah kepada mahkamah dan menetapkan 20 Mac untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










