ISKANDAR PUTERI: Seramai 101 pegawai dan anggota polis akan terlibat dalam Op Selamat di sekitar kawasan Iskandar Puteri sempena sambutan Tahun Baharu Cina mulai Khamis ini hingga Selasa depan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kesemua pegawai dan anggota polis terbabit akan mengadakan beberapa operasi merangkumi semua aspek seperti jenayah, trafik dan narkotik.
Menurutnya, tumpuan utama Op Selamat itu melibatkan aspek kelancaran trafik, khususnya di pintu masuk antarabangsa di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
“Kita akan beri tumpuan terhadap kelancaran trafik di KSAB yang dijangka kemungkinan minggu depan lebih banyak kenderaan keluar masuk dari Singapura.
“Tumpuan juga diberikan dari aspek jenayah, kita akan letakkan anggota dibantu dengan anggota-anggota balai untuk membuat rondaan di sekitar kawasan tumpuan, iaitu Bukit Indah, Nusa Bestari dan Gelang Patah,” katanya ditemui pada Program Cegah Jenayah dan Kempen Rumah Selamat sempena Tahun Baharu Cina peringkat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di AEON Bukit Indah, di sini.
Mengenai kempen tersebut, Rahmat berharap penduduk setempat melaporkan ketiadaan mereka kepada pihak polis menerusi talian hotline IPD Iskandar Puteri atau mengisi borang di balai polis berhampiran bagi memudahkan anggota melakukan rondaan di kawasan perumahan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Ditanya tentang lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ‘berkampung’ di kawasan Iskandar Puteri, pihaknya sentiasa memberikan bantuan kepada Jabatan Imigresen bagi mengesan dan menahan golongan tersebut.
“Kita sentiasa memberi bantuan sekiranya diperlukan oleh pihak imigresen dari segi mengawal keselamatan dan ketenteraman di lokasi serbuan yang dilakukan,” katanya. – UTUSAN










