PETALING JAYA: Cadangan kerajaan untuk menyelaraskan harga beras tempatan dan import tidak akan menyelesaikan isu kartel, namun perlu menyemak semula penguatkuasaan lesen dan kawalan harga oleh kilang besar terhadap kilang kecil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Musonnef Md. Radzi berkata, langkah menyelaraskan harga bagi beras tempatan dan beras import adalah baik namun tidak akan menyelesaikan isu kartel beras.
“Saya rasa dari segi harga baik sahaja dan tiada masalah. Kami menyokong langkah itu bersesuaian dengan kami yang bekerja di sawah.
“Namun, walaupun harga meningkat tetapi tidak akan selesaikan isu kartel beras. Pengawalan harga beras dan penggunaan lesen oleh kilang besar perlu disemak semula oleh kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bercadang untuk menyelaraskan harga beras tempatan dan import bagi mengelakkan manipulasi dan menangani isu penipuan dalam industri beras.
Cadangan itu bakal menyaksikan harga beras tempatan yang kini dijual di pasaran RM26 bagi setiap 10 kilogram akan meningkat kepada sekitar RM30 hingga RM33.
Tambah Musonnef, pihak berkuasa yang tidak mengawal pembelian beras oleh pengilang besar punca berlakunya mereka membeli beras tanpa had dan kuota.
“Kerajaan perlu mewujudkan kuota untuk pembelian beras tempatan. Apabila pengilang besar mempunyai kuasa, mereka secara tidak langsung menentukan harga kepada pengilang kecil dan bukannya kerajaan.
“Selain itu, lesen kilang ada had muatan sahaja dan tiada had pembelian. Jadi, jika tidak dikawal lesen, kilang yang kecil akan terhapus dan dimonopoli,” katanya.
Katanya, ketika ini bukanlah penyelarasan harga yang perlu diberi fokus tetapi kawalan kuota kepada kilang.
“Kerajaan perlu membuat kawalan kuota kepada semua kilang untuk membeli padi tempatan. Sebagai contoh, setiap kilang kecil beli 10,000 metrik tan dan 30,000 metrik tan untuk kilang besar. Apabila kilang besar tidak cukup, maka mereka boleh pula membeli daripada kilang kecil pada harga sama,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pengagihan padi di dalam industri ketika ini terjejas akibat dikuasai kilang besar.
“Mereka menguasai hampir 80 peratus pengagihan padi dan juga mempunyai rantaian sawah, kilang pemborong dan peruncit.
“Pada masa sama, mereka menguasai padi benih oleh kerajaan atas proksi kilang lain. Jika kerajaan tidak menjalankan usaha untuk mengharmonikan antara kilang besar dan kecil maka ia akan memberi kesan,” katanya. – UTUSAN










