KUALA LUMPUR: Projek penyelenggaraan serta menaik taraf prasarana industri pelancongan perlu disegerakan bagi menampung jumlah kehadiran pelancong seterusnya menggalakkan promosi hasil kraf tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan itu perlu susulan kesesakan termasuk di pelabuhan serta pintu masuk negara seperti Lapangan Terbang di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Menurut beliau, sinergi antara kementerian dan agensi perlu ditingkatkan supaya industri pelancongan negara kekal berdaya saing dan lebih berkembang.
Justeru, menurut beliau, Ketua Pengarah perlu merujuk Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan bagi menyegerakan proses berkenaan.
“(Ini dapat) perkenalkan industri tempatan serta promosi hasil-hasil tempatan, kraftangan batik, songket dan pelbagai.
“(Ini juga ada) kaitan dengan kraftangan yang boleh mengangkat martabat rakyat miskin,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di Kompleks Kraf, di sini.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kraf Negara 2024 kepada Bangie Anak Embol (Kraf Tekstil Tenunan Pua).
Terdahulu, HKK 2024 dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) bermula Khamis lepas sehingga 4 Mac depan.
Penganjuran HKK 2024 turut dimeriahkan dengan Festival Kraf Kebangsaan
(FKK) 2024 di 12 buah pusat beli-belah terpilih di seluruh negara bermula semalam sehingga 21 April depan.
Seramai 640 orang usahawan kraf daripada bidang kraf tekstil, hasil logam, hasil rimba, hasil tanah dan aneka kraf menyertai penganjuran HKK 2024 kali ke- 21 ini.
Dalam pada itu, Anwar berharap saguhati Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang dipengerusikan Malaysia tahun hadapan berbentuk kraftangan.
Oleh itu, katanya, pihak berkaitan perlu mengenal pasti kraftangan yang bersesuaian bagi memastikan mutunya baik selain menyelaraskan latihan dan dana kepada pengusaha kraf. – UTUSAN










