PETALING JAYA: Meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) bagi memperkasa institusi mahkamah syariah, lebih utama berbanding mencadang usul meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan sama.
RUU355 itu dibentang melalui usul persendirian oleh Ahli Parlimen Marang daripada Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 26 Mei 2016, namun, perbahasannya tertangguh beberapa tahun sehingga tidak lagi timbul dalam mesyuarat Parlimen.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam syarie, Datuk Julita Ilhani Abdul Jabbar berkata, tiada keperluan untuk Pas mendesak kerajaan meminda Perlembagaan kerana parti itu sepatutnya bertanggungjawab merealisasi RUU355 semasa menjadi kerajaan sebelum ini.
TERUSKAN
“Pada saya elok sahaja kerajaan meneruskan RUU355 ini dahulu. Tidak perlu lagi cadangan lain termasuk meminda Perlembagaan jika tujuannya semua sama,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas rancangan Pas yang mahu mengemukakan RUU persendirian meminda perlembagaan menjelang mesyuarat Parlimen tidak lama lagi.
RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum bagi mahkamah syariah untuk kesalahan jenayah syariah, tanpa melibatkan masyarakat bukan Islam, namun, ia hanya di peringkat usul tanpa perbahasan.
Isu pindaan Perlembagaan timbul berikutan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengisytihar 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah dikuatkuasakan di negeri itu.
Krisis perundangan itu tercetus selepas pempetisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, berjaya mendapatkan pembatalan undang-undang berkenaan daripada mahkamah tertinggi negara.
DITOLAK
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil menjangka, wujud halangan mengemukakan usul meminda Perlembagaan berdasarkan ‘amalan’ menyaksikan usul ahli Parlimen pembangkang sering ditolak.
“Kalau imbas kembali pengalaman lalu, usul dikemuka pembangkang biasanya akan ditolak, jadi selepas ini, kita sudah boleh menjangka apa akan berlaku jika pembangkang kemukakan usul persendirian baharu?
“Budaya ini sudah ‘ditanam’ sejak kerajaan demi kerajaan bertukar dan sekarang semua parti politik sudah pernah menjadi kerajaan. Pas sendiri mengambil sikap sama semasa menjadi kerajaan,” katanya.
Beliau turut mempersoal pendirian Pas akan status RUU355 sedangkan parti itu yang sebelum ini lantang memperjuang undang-undang tersebut.
“Mana RUU355 sedangkan ini adalah perjuangan mereka, tetapi hingga sekarang ia gagal dilaksana? Kerana budaya ini sudah diamalkan oleh sesiapa yang berkuasa di Parlimen,” katanya. – UTUSAN










