Ross Ariffin tinggalkan rumah warga emas, menetap di PPR

Ross Ariffin tinggalkan rumah warga emas, menetap di PPR

Ross Ariffin
KAMARULZAMAN Abd. Rahman (dua dari kiri) menyerahkan keyboard kepada Zainal Abu Bakar untuk diberikan kepada Ross Ariffin di Taman Bukit Larang Indah, Telok Mas, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Komposer, Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin Jamil, 62, tidak lagi mendiami Rumah Warga Emas Taman Bukit Larang Indah, Telok Mas di sini sejak 5 Februari lalu.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warga Emas dan Komuniti Taman Bukit Larang Indah, Kamarulzaman Abd. Rahman berkata, individu yang pernah mencipta lagu untuk artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Fauziah Latiff itu meninggalkan rumah berkenaan kira-kira pukul 5 pagi.

Menurutnya, pihaknya menyedari ketiadaan Ross sewaktu penasihat mereka, Datuk Akramuddin Abd. Aziz ingin menyerahkan sebuah keyboard disumbang seorang wanita dari Perlis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya terkejut apabila dimaklumkan penyelia, Ross tiada dalam rumah sewaktu melihat sarapan pagi yang dihantar tidak diambil kira-kira pukul 10 pagi.

“Rumah itu kosong apabila semua beg pakaiannya tidak ada, cuma penyelia menemui sepucuk surat yang ditinggalkan komposer itu di atas meja.

“Surat bertarikh 3 Februari itu menyebut dia telah mendapat tempat tinggal baharu di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di Kuala Lumpur dan mengucapkan terima kasih sepanjang menjaganya di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Kamarulzaman, Akramuddin mengetahui perkara itu selepas menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada Ross yang memaklumkan, dia meninggalkan rumah warga emas itu untuk berpindah ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, pada mulanya pihaknya bimbang sesuatu mungkin terjadi apabila mendapat tahu dia meninggalkan rumah warga emas pada pukul 5 pagi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Melaka, Datuk Zainal Abu Bakar berkata, beliau turut berasa terkejut dengan keputusan Ross.

“Setakat ini dia dijaga dengan baik sejak berada di rumah warga emas sejak Oktober tahun lalu menerusi bantuan Karyawan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini