KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memperuntukkan RM12 juta untuk melatih 10,000 pemberi pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan (OPFA) di tempat kerja di seluruh negara, secara percuma.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif itu bagi menggalakkan peserta mengambil bahagian dalam program latihan OPFA yang baharu dilancarkan hari ini.
Menurut beliau, kementeriannya bersama NIOSH bukan sahaja mengambil berat isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam bentuk fizikal, tetapi juga dari segi kesihatan mental.
“Kita harap penyertaan bukan sahaja di peringkat sektor swasta, tetapi sektor awam di mana kita akan melatih individu yang mampu memberikan intervensi awal kepda rakan sekerja yang menghadapi masalah kesihatan mental,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali ke-24 (COSH 2024) serta Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali ke-6 (SCICOSH).
OPFA merupakan program khusus yang pertama kali dibangunkan untuk membantu para peserta memberikan pertolongan awal bagi rakan sekerja yang mengalami tekanan psikologi.
Pembangunan modul latihan OPFA disokong oleh Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Negara, Kementerian Kesihatan.
Selepas 10,000 individu pemberi pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan , penyertaan program latihan tiga hari itu boleh mendapat tuntutan levi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).
Mengulas lanjut, Steven Sim berharap, program OPFA dapat mengurangkan stigma terhadap kesihatan mental terutama salam kalangan pekerja dan majikan.
“Kita faham mungkin dalam masyarakat pendedahan dan penerimaan masih agak rendah, justeru melalui program latihan ini, kita bukan sahaja mahu mendidik pra pekerja, tetapi majikan bahawa it is okay to seek help dari segi kesihatan mental.
“Malah, intervensi awal atau apabila kita mewujudkan satu keadaan tempat kerja yang menjaga kesihatan mental pekeja, maka produktiviti juga akan mendapat kesan positif,” katanya.- UTUSAN










