Ribuan orang serbu Anwar di Jonker Walk

Ribuan orang serbu Anwar di Jonker Walk

ANWAR Ibrahim dan Ab. Rauf Yusoh mengangkat tangan kepada orang ramai yang berhimpun di sepanjang laluan ke Jonker Walk, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian ribuan rakyat Melaka termasuk pelancong domestik dan luar negara ketika mengadakan lawatan singkat di Jonker Walk, Banda Hilir di sini, hari ini.

Sejurus menghadiri Majlis Ramah Mesra dengan warga polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menaiki buggy menuju ke Jonker Walk.

Sepanjang laluan kira-kira satu kilometer (km) itu, buggy yang membawa dua tokoh itu berhenti berhampiran Surau Warisan sebelum dikerumuni orang ramai yang ingin bersalaman dan berswafoto.

Kehadiran Anwar turut diserikan dengan tarian oleh sekumpulan penari, selain beliau turut menyaksikan pemain biola cilik membuat persembahan di situ.

Perdana Menteri turut menyerahkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) replika naga terpanjang sempena Tahun Baharu Cina.

Lebih menarik, Anwar menekan butang yang menyaksikan naga berkenaan mengeluarkan semburan air yang diletakkan di Tugu Memorial Persahabatan Melaka dan China.

Replika sepanjang 179.2 meter dengan berat bahagian kepala 60 kilogram (kg) itu diarak oleh 180 individu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN