PETALING JAYA: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menyerahkan notis pemberitahuan berkaitan penganjuran perhimpunan #Reformasi100Peratus di Parlimen di sini esok.
Perkara itu disahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Facebook rasmi Bersih hari ini.
“Bersih telah menyerahkan notis pemberitahuan di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangi berkaitan penganjuran perhimpunan #Reformasi100Peratus esok,” katanya di sinj hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, notis pemberitahuan perlu diserahkan sekurang-kurangnya lima hari dari tarikh berhimpun.
“Di bawah peruntukan Seksyen 9 (1) APA 2012, notis pemberitahuan bersama dokumen sokongan perlu diserahkan lima hari dari tarikh perhimpunan tersebut dianjurkan,” katanya.
Oleh itu, beliau menggesa semua pihak mengikut peruntukan undang-undang yang dikuat kuasa di negara ini.
Semalam, media melaporkan polis setakat ini tidak menerima sebarang notis pemberitahuan berkaitan penganjuran perhimpunan anjuran Bersih esok.
Allaudeen dilaporkan berkata, pihaknya terkesan dengan poster yang tular di media sosial berkenaan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk mengadakan perhimpunan dengan menyeru orang ramai berhimpun di Tugu Negara dan seterusnya berarak ke Parlimen.
“Pihak polis setakat ini tidak menerima sebarang Pemberitahuan Perhimpunan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 daripada mana-mana pihak yang ingin mengadakan perhimpunan tersebut.
“Selain itu, perhimpunan tanpa Pemberitahuan Perhimpunan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.- UTUSAN










