PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke Villa Indah Kayangan dan Amanda Homestay di Kampung Bonggol Sena di sini yang merupakan antara premis penginapan pelancongan menarik di negeri ini.
Kedua-dua buah villa dan inap desa tersebut mendapat langganan pengunjung menginap yang amat mengalakkan terutamanya ketika kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Dilengkapi dengan kolam renang dewasa dan kanak-kanak, tempat letak kenderaan yang mencukupi, pemandangan hijau yang menyegarkan dan privasi menjadikan pengusaha dua rumah inap desa ini tidak menang tangan buat masa kini.
Keberangkatan baginda diiringi sama oleh anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail adalah bersempena dengan program kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan dari MAIPs yang berupa wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih dalam kayuhan ini.
Baginda terus menjemput semua pihak datang ke Perlis untuk merasai sendiri makanan yang enak di negeri ini dan dalam masa yang sama melawati ke tempat-tempat menarik yang ada.-UTUSAN










