PETALING JAYA: Sebanyak 18 lokasi panas dan 46 lokasi titik hitam di lebuh raya utama di seluruh negara dikenal pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Selamat Tahun Baharu Cina ke-21 bermula esok sehingga 13 Februari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, selain lebuh raya utama, pihaknya turut mengenal pasti sebanyak 407 lokasi panas yang kerap berlaku kesesakan dan 76 lokasi hitam akibat kemalangan di kontinjen dan daerah.
Katanya, sebanyak enam kesalahan utama yang dikenal pasti melibatkan memandu melebihi had laju; memandu di lorong kecemasan; memotong di garisan berkembar; memotong barisan; tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.
“Op Selamat kali ini bertemakan Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi mengangkat dua objektif utama iaitu meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran trafik dan mencegah jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.
“Lebih 6,000 anggota dan pegawai ditugaskan dalam Op Selamat Ke-21 sempena Tahun Baharu Cina bermula 8 Februari (esok) hingga 13 Februari di seluruh negara,” katanya selepas melancarkan Op Selamat ke- 21 di Persada PLUS di sini, hari ini. – UTUSAN











