SEREMBAN: Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan melantik bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith sebagai penasihat parti itu di negeri ini.
Pengerusinya yang baharu dilantik, Mohamad Hanifah Abu Baker memberitahu, keputusan tersebut dibuat hasil mesyuarat PN Negeri Sembilan yang pertama tahun ini yang diadakan baru-baru ini.
Beliau menambah, mesyuarat juga membuat pelantikan Naib-naib Pengerusi Perhubungan yang mewakili setiap parti anggota PN.
“Mesyuarat juga bersetuju pelantikan Muhammad Noraffendy Mohd. Salleh sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan dan Zaharuddin Baba Samion sebagai Ketua Penerangan Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhammad Noraffendy merupakan calon PN di Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu manakala Zaharuddin pula calon di Parlimen Jelebu.
Mohamad Hanifah yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan dalam pada itu memberitahu, Ketua Pemuda PN Negeri Sembilan kekal disandang oleh Danni Rais manakala Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Sembilan, Masita Mohd. Ali sebagai Ketua Wanita PN Negeri Sembilan.
“Mesyuarat juga bersetuju, penyusunan semula ketua-ketua PN kawasan dengan perubahan di beberapa kawasan. Penyelaras-penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) juga akan dilantik berdasarkan formula pengagihan kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Pelantikan wakil-wakil penyelaras di setiap kampung berdasarkan DUN terlibat juga akan dilaksanakan. Bagi tujuan semak dan imbang, mesyuarat juga bersetuju mewujudkan portfolio berdasarkan Exco kerajaan negeri dan mewujudkan sekretariat DUN,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu.
PN tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Negeri Sembilan pada PRU15 namun berjaya merampas lima kerusi DUN semasa PRN tahun lalu.-UTUSAN










