PKR susun semula Majlis Pimpinan Negeri

PKR susun semula Majlis Pimpinan Negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Pusat PKR mengumumkan penyusunan semula enam Majlis Pimpinan Negeri dengan melantik Noor Amin Ahmad sebagai Pengerusi PKR Perlis dan Gan Ay Ling sebagai Timbalan Pengerusi.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyusunan semula itu dibuat bagi memperkukuh dan mendukung agenda reformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Penyusunan ini mengambil kira semua pandangan bagi memastikan PKR terus kukuh dalam mendukung agenda reformasi di bawah kepimpinan Anwar,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Amin yang juga bekas Ahli Parlimen Kangar menggantikan Nurul Izzah Anwar yang juga merupakan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Turut terlibat dengan penyusunan semula adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Pimpinan lain yang dilantik selaku Pengerusi PKR Negeri ialah Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah (Kedah), Chang Lih Kang (Perak), Aminuddin Harun (Negeri Sembilan) dan Mohd. Rafee Ibrahim (Melaka).

Bagi jawatan Timbalan Pengerusi PKR negeri pula ialah Zamri Yusuf (Kedah), Dr. Mohamad Abdul Hamid (Pulau Pinang), Mohamad Hairul Amir Sabri (Perak), Muhammad Nazri Kassim (Negeri Sembilan) dan R. Jagatheason (Melaka).

Di samping itu, Majlis Pimpinan Pusat juga melantik Saifuddin sebagai pemantau untuk perjalanan PKR di Perlis dan Kedah manakala Aminuddin memantau PKR di Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN