JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor tidak lagi perlu mengemis jawatan dalam kerajaan negeri ini termasuklah jawatan ketua kampung, ahli majlis atau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan UMNO Johor yang tidak melantik wakil PH dalam rombakan barisan exco, baru-baru ini.
Menurut beliau, keputusan dibuat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak wajar kerana tidak mencerminkan hubungan antara dua gabungan parti politik berkenaan.
“Apa yang UMNO Johor lakukan adalah menutup pintu untuk sebarang kerjasama di negeri ini. Ini bermakna kerjasama diharap Presiden UMNO sendiri tidak selari dengan tindakan UMNO Johor.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berkompromi melalui penubuhan Kerajaan Perpaduan untuk menjaga hubungan PH dan BN tetapi di peringkat Johor, kerjasama itu tidak terlaksana.
“Apa lagi yang boleh beliau (Anwar) lakukan untuk menunjukkan kepentingan kerjasama kedua-dua gabungan ini bukan hanya sekadar peringkat pusat sahaja,” selepas menghadiri Program Jualan Kasih Sayang Bergerak di Dewan Komuniti Taman Desa Cemerlang Perdana, di sini hari ini.
Pada 13 Februari lalu, Onn Hafiz mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor menggantikan ADUN Johor Lama, Norlizah Noh.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor turut berkata, ketiadaan wakil PH dalam kerajaan negeri akan menjejaskan hubungan kedua-dua pihak pada masa depan.
“Selain itu, PH Johor juga tidak dapat memainkan peranan secara efektif dalam usaha melakukan reformasi terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
“Tidak cukup hanya tuntut jawatan ketua kampung, ahli majlis atau GLC. Sebaliknya PH perlu lakukan rombakan terhadap pentadbiran dan institusi di negeri ini.
“Kerajaan negeri yang telus untuk rakyat dengan mengatasi masalah rasuah dan salah guna kuasa, bukan jawatan semata-mata. Bila ada kuasa kita boleh laksana agenda ini. Agenda ini selari di peringkat nasional,” jelasnya. – UTUSAN










