Pesara dibenar mulakan semakan kehakiman berhubung pelarasan pencen - Utusan Malaysia

Pesara dibenar mulakan semakan kehakiman berhubung pelarasan pencen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas penjawat awam di Kementerian Luar, Aminah Ahmad berjaya memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan menyegerakan pelarasan dan membayar tunggakan pencen.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amajeet Singh membenarkan permohonan tersebut selepas Jabatan Peguam Negara yang mewakili Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam selaku responden tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Mahkamah turut menetapkan 14 Mac ini untuk pengurusan kes.

Pada 12 Januari lalu, Aminah memfailkan permohonan semakan kehakiman itu enam bulan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pelarasan pencen tahunan sebanyak dua peratus secara `flat rate’ sejak Januari 2013 telah memberikan manfaat yang kurang kepada pesara kakitangan awam.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred tersebut.

Terdahulu, peguam Datuk Dr. Abd. Shukor Ahmad yang mewakili Aminah pada prosiding pengurusan kes berkenaan, dan memaklumkan AGC tidak membantah permohonan itu.

RESPONDEN

Selain Abd. Shukor, Aminah turut diwakili peguam Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu manakala kedua-dua responden diwakili Peguam Persekutuan, Ainna Sherina Saipolamin.

Menurut permohonan semakan kehakiman tersebut, Aminah memohon perintah mandamus (memaksa) terhadap kedua-dua responden untuk menyegerakan penyelarasan pencen kepada amaun kelayakan pencen mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980.

Aminah turut memohon agar tunggakan pencen itu dibayar kepada semua pesara dalam tempoh 14 hari atau dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah. Turut dimohon ialah kos atau relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 13 Januari 2022, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 adalah terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Rayuan memutuskan demikian atas alasan pindaan tersebut telah melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, keadaan semasa sebelum pindaan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 1980 akan terus diguna pakai.

Pada 27 Jun 2023, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Pada 6 Julai 2023, Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperkenalkan mekanisme baharu bagi melindungi pesara kerajaan susulan keputusan mahkamah itu.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN