Penuntut IPTA ditemukan lemas di Lata Hammer selepas azan dilaungkan - Utusan Malaysia

Penuntut IPTA ditemukan lemas di Lata Hammer selepas azan dilaungkan

ANGGOTA polis dan bomba mengangkat mayat mangsa lemas, Muhamad Hafiz Khairul Azmi di Lata Hammer di Bentong, Pahang. - FOTO/IPD BENTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor yang dilaporkan hilang ketika beriadah di Lata Hammer di sini ditemukan lemas ketika timbul di permukaan air terjun itu di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, mayat mangsa, Muhamad Hafiz Khairul Azmi, 22, timbul dipermukaan air pada pukul 11.50 pagi sejurus selepas salah seorang ahli keluarganya melaungkan azan di tempat kejadian.

“Mayat mangsa timbul dalam jarak kira-kira lima meter daripada lokasi pertama dipercayai lemas.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Bentong bagi tujuan bedah siasat,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.

Menurut Zaiham, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga melibatkan seramai 43 orang anggota terdiri Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bentong Trekker yang menghulurkan bantuan aset dan sumber menyelamat.

Ujarnya, seluruh warga IPD Bentong menghulurkan salam takziah kepada keluarga mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN