KULIM: Seorang pemuda berusia 21 tahun sedih apabila tidak lagi dapat membantu menyara keperluan keluarga selepas kehilangan kaki kiri akibat kemalangan tahun lalu.
Menurut Muhammad Haikal Syed Abdul Kadir, dia anak sulung daripada lima beradik bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit sebelum terlibat kemalangan pada 26 November tahun lalu.
Katanya, sebagai anak sulung, dia membantu menambah pendapatan keluarga yang mana bapanya, Syed Abdul Kadir Ayob, 43, hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah syarikat swasta.
“Namun hasrat saya untuk terus membantu keluarga terhalang apabila saya terlibat dalam kemalangan di pekan Karangan yang mana motosikal yang saya tunggang bertembung dengan sebuah kereta.
“Akibat kejadian itu, saya mengalami kecederaan pada kaki kiri termasuk bahagian lutut dan menjalani rawatan di Hospital Kulim selama 26 hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ulu Paip, Karangan di sini semalam.
Menurutnya, kecederaan dialami menyebabkan bahagian saraf kaki terjejas teruk dan terpaksa menjalani tiga kali pembedahaan.
“Akhirnya doktor terpaksa mengambil keputusan memotong kaki kiri sehingga paras betis untuk mengelakkan daripada kesan yang lebih buruk,” ujarnya.
LUKA
Katanya, dia kemudian perlu ke Klinik Kesihatan Kulim setiap dua atau tiga hari sekali untuk mencuci luka dan kini luka pada kakinya hampir pulih.
“Saya harap kaki saya ini akan pulih sepenuhnya dan buat masa ini saya bergerak mengunakan tongkat. Saya cuba untuk membiasakan diri dengan tongkat dan harap selepas ini saya dapat guna kaki palsu,” jelasnya.
Dia juga berhasrat untuk menjalankan perniagaan makanan selain akan membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bantuan orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, ibunya, Rosmah Ahmad, 42, berkata, dia mulanya bimbang jika anaknya itu tidak dapat menerima keadaan dirinya.
Katanya, namun reaksi Muhammad Haikal berbeza apabila anaknya menganggap kejadian itu adalah takdir serta ujian untuk dirinya.
“Saya ada lima anak iaitu perempuan berusia 18 tahun sudah berkahwin, sementara yang lain berusia 16 tahun, 12 tahun masih bersekolah serta bongsu berusia empat tahun,” katanya. – UTUSAN











