JOHOR BAHRU: Polis negeri ini masih menunggu laporan analisis forensik dan penyata daripada Bank Negara (BNM) bagi melengkapkan siasatan kes pemerasan 10 pegawai dan anggota pasukan keselamatan itu membabitkan wang tunai RM35,000.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, siasatan kes melibatkan seorang pegawai kanan berpangkat inspektor dan sembilan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, awal bulan ini akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan.
“Siasatan kes di peringkat akhir sementara menunggu laporan analisis forensik dan penyata daripada BNM.
“Ulasan dan cadangan daripada hasil siasatan akan dikemukakan ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, (D5) Bukit Aman terlebih dahulu sebelum diangkat ke Jabatan Peguam Negara,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Johor di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Komisioner Afandi Senin.
Pada 5 Februari lalu, polis negeri ini menerima laporan berkaitan kes dakwaan pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000 oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di IPD Seri Alam.
Seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun dikatakan membuat laporan mendakwa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah, namun pengadu menyerahkan wang RM35,000 kepada anggota berkenaan, tetapi adiknya masih tidak dibebaskan.
Susulan itu, seorang pegawai serta sembilan anggota termasuk seorang wanita di IPD Seri Alam ditahan untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Kumar memberitahu, kesemua suspek berusia 22 hingga 55 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis dan telah ditukarkan ke beberapa IPD lain.
“Mereka tidak digantung kerja, sebaliknya ditukarkan ke IPD lain selepas dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya. – UTUSAN











