KUALA LUMPUR: Skim Perubatan Madani (SPM) ditumpukan semula di 10 daerah berkuat kuasa 26 Februari lalu bagi mengatasi kesesakan pesakit di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) di daerah-daerah tersebut.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daerah-daerah terbabit adalah di Kuala Lumpur, dan empat daerah di Selangor (Gombak, Hulu Langat, Petaling, serta Klang), Johor Bahru (Johor), Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).
Menurut beliau, KKM memandang serius isu kesesakan dan waktu menunggu yang lama terutamanya di Jabatan Kecemasan dan Trauma KKM di seluruh negara.
“Sehubungan itu, KKM telah merangka beberapa langkah penyelesaian bagi menangani masalah ini yang mana kesesakan berlaku disebabkan pesakit yang mengalami sakit-sakit ringan mendapatkan rawatan di unit berkenaan
“Antaranya ialah memperkenalkan pelaksanaan melanjutkan waktu operasi di klinik kesihatan awam di mana bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Perkhidmatan Awam; dan SPM sebagai salah satu inisiatif rintis,” katanya dalam persidangan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Alias Razak yang meminta beliau untuk menyatakan justifikasi kerajaan membatalkan perkhidmatan Skim Perubatan Madani di peringkat klinik swasta.
Alias Razak juga meminta penjelasan KKM berkenaan dengan Skim Perubatan Madani yang hanya diteruskan perkhidmatan di 10 daerah terpilih sahaja sedangkan kementerian baru menerima peruntukan RM100 juta dalam Belanjawan 2024 untuk menambah baik skim perubatan tersebut.
Pada 15 Jun 2023, skim itu dilancarkan dengan permulaan di 10 daerah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang, Johor Bahru, Kinta, Timur Laut, Kota Kinabalu, dan Kuching) dengan memberi fokus bagi dalam mengurangkan kesesakan pesakit. – UTUSAN










