KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dijangka terus mengukuh pada tahun ini yang diniagakan pada RM4.50 berbanding dolar AS pada akhir tahun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengukuhan nilai mata wang disumbangkan oleh unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak empat hingga lima peratus tahun ini, sekali gus memudahkan pemulihan ringgit ke paras RM4.50.
Sehubungan itu, katanya, kerjasama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersedia untuk meningkatkan aliran masuk wang ke dalam pasaran pertukaran asing bagi mengukuhkan nilai ringgit.
“BNM juga sentiasa bersedia untuk mengambil langkah campur tangan dalam pasaran pertukaran mata wang asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.
“Contohnya, BNM akan menjual mata wang dolar AS daripada rizabnya untuk menyekat kelemahan ringgit yang berlebihan.
“Usaha yang dilakukan kerajaan menunjukkan keberkesanan dan tiada keperluan untuk menggunakan instrumen seperti tambat ringgit atau menutup pertukaran ringgit seperti yang dilakukan semasa Krisis Kewangan Asia,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng [PH-Bagan] yang ingin tahu mengenai jangkaan kerajaan melihat mata wang negara pulih kepada tahap berpatutan dan langkah-langkah yang diambil oleh BNM untuk mengukuhkan nilai ringgit. – UTUSAN










