TEMERLOH : Polis memburu seorang suspek lelaki Cina yang dipercayai merampas beg sandang berharga RM1,000 milik seorang akauntan wanita berusia 38 tahun dalam kejadian di Jalan Bendera 12, Taman Bukit Bendera, Mentakab dekat sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.19 petang, seorang suspek lelaki Cina masuk ke dalam pekarangan rumah dan terus mengambil beg sandang yang berada dalam kereta akauntan tersebut.
“Mangsa yang mempunyai tiga orang anak memberitahu dia keluar rumah pukul 9 pagi untuk bekerja dan pulang mengambil dua anak perempuannya yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mentakab pada pukul 12.30 tengah hari.
“Semasa tiba di rumah teres dua tingkat, wanita berkenaan telah membuka pagar automatik dan membiarkan terbuka. Dia keluar dari kereta dan menjemur pakaian di pekarangan rumah, manakala dua anaknya masih berada di dalam kereta,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.
Menurut Mazlan, tiba-tiba sebuah Myvi berwarna putih berhenti di hadapan rumah akauntan berkenaan dan suspek keluar dari dalam keretanya masuk ke pekarangan sambil menyapa auntie lalu menuju ke kereta pengadu dan terus mengambil beg sandang.
“Anak akauntan wanita berkenaan menjerit dan suspek lelaki berkenaan pantas berlari ke arah keretanya. Wanita berkenaan terus keluar dan berlakulah pergelutan ketika cuba memperoleh beg sandangnya sehingga dompet yang berada di dalam beg itu terjatuh.
“Wanita berkenaan cuba mengejar suspek dan menarik semula beg sandang, bagaimanapun gagal,” katanya.
Mazlan berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mengesahkan kejadian, namun nombor pendaftaran kereta suspek tidak jelas.
Ujarnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kerugian dianggarkan kira-kira RM1,000, iaitu harga beg sandang berwarna coklat jenama MCM.
Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 392 Akta Kanun Keseksaan. – UTUSAN










