KUALA LUMPUR: Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) memberi cadangan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya memujuk menantunya menyerah diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali mengandaikan menantu Muhyiddin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan seperti ketakutan sehingga terpaksa menyembunyikan diri di luar negara.
“Kalau tak salah, tak perlu rasa takut. Beliau menyorok seperti Jho Low dan susah untuk dikenal pasti keberadaannya.
“Selaku ayah mentua, Muhyiddin patut pujuk menantunya itu untuk serah diri kepada pihak berkuasa jika tidak bersalah dan berharap bekas Perdana Menteri itu memberi kerjasama,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Putra, Titiwangsa Sentral, Kuala Lumpur hari ini.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan menantu kepada Muhyiddin, yang menghilang diri sejak Mei lalu, diperlukan SPRM bagi pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan membabitkan Muhammad Adlan, 48, telah selesai.
Menurut Ibrahim, beliau hairan bagaimana Muhyiddin sebagai mentua Muhammad Adlan tidak tahu di mana lokasi menantunya berada dan tidak susah untuk dikesan dengan zaman serba canggih ini.
“Ini penting bagi Muhyiddin dalam menjaga imej dan intergiritinya sebagai bekas Perdana Menteri dalam menghadapi apa sahaja dakwaan.
“Jika takut menghadapi dakwaan, maka benarlah dakwaan yang mengatakan dia bersalah, sama seperti Jho Low yang mana sehingga kini tak dapat dikesan,” katanya. – UTUSAN









