PETALING JAYA: Pas tidak pernah mengadakan perbincangan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung cadangan mewujudkan semula kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, jika Pas mahu mewujudkan kerjasama itu termasuk bersama UMNO, perkara itu mesti dibawa ke perbincangan di peringkat pimpinan tertinggi.
“Kita tidak pernah bincang soal itu. Apa pun ini hal dasar yang mesti diputuskan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi kedua-dua parti dan juga Perikatan Nasional. Setakat ini, kita belum menerima apa-apa cadangan atau undangan untuk bekerjasama,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menganggap MN sudah tidak ada dan fokus UMNO kini adalah bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) untuk membangunkan negara.
“MN untuk penggal ini sudah tiada. Kita (UMNO) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membanteras rasuah dan tangani kemiskinan dalam negara,” katanya.
Selain itu, katanya, sebarang usaha untuk menghidupkan semula MN perlu merujuk kepada Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa yang sudah mendaftarkan MN sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Terdahulu, Pas tidak akan menutup ruang kerjasama dengan UMNO untuk menghidupkan semula MN di sebalik kenyataan “tutup buku” oleh Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin tetap dengan pendiriannya kerana masih berpandangan kepentingan perpaduan ummah isu baru-baru ini didakwa serangan terhadap kesucian Islam. – UTUSAN










