Minta pandangan ulama, ahli akademik perkasa Mahkamah Syariah  - Utusan Malaysia

Minta pandangan ulama, ahli akademik perkasa Mahkamah Syariah 

Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2024 di Tasik Titiwangsa di ibu negara hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam diminta mendapatkan pandangan para ulama dan ahli akademik berhubung usaha untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, malah jawantankuasa itu perlu mendengar cadangan semua mufti dan ahli akademi yang kemudian pandangan mereka diperhalusi sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Katanya, beliau telah menyatakan pandangan tersebut dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) baru-baru ini.

“Saya nak jawatankuasa bincang dengan ulama-ulama, para mufti, dengan pandangan para akademik dan sesiapa sahaja hendak kemukakan. Ia tidak menghalang.

PUTUSKAN

“Dengar semua dan putuskan, kemukakan pandangan dari segi Perlembagaan dan Jabatan Peguam Negara. Kemukakan kepada Majlis Raja-Raja dan kemudian bawa balik kepada Jemaah Menteri yang mesti putuskan kerana Kabinet yang perlu bawa ke Parlimen. 

“Ahli Parlimen perlu bersetuju kerana pindaan Perlembagaan, kena perlu dua pertiga,” katanya ketika berucap dalam Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2024 di Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi MKI bertitah satu jawatankuasa khas ditubuhkan sejak Ogos tahun lalu bagi memperhalusi isu berkaitan kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi DUN itu turut melibatkan penelitian terhadap isu keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Kelantan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Anwar ketika ditemui berkata, semua ulama termasuk pembangkang boleh memberikan pandangan mengenai perkara tersebut.

Perdana  berkata demikian ketika ditanya sama ada usaha tersebut melibatkan seluruh tokoh agama termasuk dalam kalangan parti berbeza.

Bagaimanapun, Anwar membidas segelintir pihak yang sengaja mempolemik keputusan Mahkamah Persekutuan seolah-olah menuduh perlanggaran institusi Mahkamah Syariah dan memecahbelahkan masyarakat.

“Saya tengok (ada pihak mencetuskan) ini sudah menjadi satu jihad, ini satu pelanggaran Mahkamah Syariah di negara kita, orang boleh minum arak dan zina sesuka hati.

“Orang dengar sedangkan mereka tidak tahu hukum (undang-undang) dan apabila ada ustaz bercakap termasuk orang pakai jubah, jadi orang terkeliru,” katanya.

Katanya, semua pihak harus membaca penghakiman penuh keputusan mahkamah yang menjelaskan negeri-negeri tidak boleh menggubal undang-undang melangkaui bidang kuasa Persekutuan.

“Bacalah dahulu, sebab ada orang tidak baca. Ketua Hakim Negara menjelaskan tiada langsung menyingung kedudukan Mahkamah Syariah, bahas terhadap kedudukan undang-undang negeri dalam Perlembagaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN