KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) sedang memuktamadkan beberapa perkara berhubung pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dijangka bermula tahun hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara perkara sedang diperincikan adalah melibatkan aspek kurikulum, kaedah pelaksanaan serta penglibatan beberapa agensi lain yang boleh membantu program tersebut.
“Kita mengharapkan supaya PLKN dapat dimulakan 2025. Itu cadangan kita, tertakluk kepada persetujuan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam masa pihaknya turut menolak dakwaan berhubung program PLKN tersebut hanya untuk peserta yang cenderung kepada kerajaan semata-mata.
“Kita dalam proses untuk menentukan kurikulum dan PLKN yang akan diperkenalkan semula itu lebih kurang dalam 20 peratus kenegaraan manakala 80 peratus adalah berasaskan kepada latihan ketenteraan.
“Jadi adalah tidak benar dikatakan bahawa ia adalah usaha untuk mempengaruhi atau ada elemen politik.
“Ini kerana kalau kita lihat di sesetengah negara yang ada khidmat negara, tidak timbul pun soal itu (pengaruh politik). Masalah kita, semua perkara di Malaysia ini nak dipolitikkan,” katanya lagi.
Berdasarkan survey dilakukan, sebanyak 67 peratus daripada 2,633 responden bersetuju dengan pelaksanaan semula PLKN 3.0 susulan tinjauan umum yang dilaksanakan sejak 24 Januari hingga 30 Januari lalu.
Pengarah Eksekutif Architects of Diversity Malaysia, Jason Wee berkata, bagaimanapun seramai 52 peratus responden memberi pandangan sangat merisaukan dengan gangguan seksual terhadap peserta PLKN. – UTUSAN










