MELAKA: Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 150,000 pelancong mengunjungi Melaka sempena Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68, Selasa lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, jumlah itu menjanjikan kejayaan TMM 2024 terutama kunjungan di 11 produk pelancongan yang menawarkan kemasukan percuma.
“Saya amat berbangga atas usaha semua dalam menjayakan sambutan pada 20 Februari yang lepas, di mana bumi bertuah ini telah menerima hampir 150,000 pengunjung.
“Saya amat berbesar hati dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudi hadir pada 20 Februari yang lepas sempena Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu kali ke-68.
“Kehadiran pemimpin utama dan terpenting ini membawa rahmat dan berita baik kepada rakyat Melaka dalam usaha untuk kita memacu Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri di Jonker Walk, Banda Hilir di sini, semalam.
Tambah Ab. Rauf, buat julung kalinya tahun ini, kerajaan negeri mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina di Jonker Walk yang menyaksikan kedatangan hampir 30,000 pengunjung.
Beliau berkata, konsep mesra penjaja melibatkan seramai 323 penjaja turut diketengahkan.
“Kerajaan negeri telah menghadiahkan kupon makan bernilai RM15 seorang kepada 10,000 orang yang terawal membeli makanan di seluruh kawasan Jonker Walk,” jelasnya. – UTUSAN










