BACHOK: Seorang lelaki yang bertindak terjun ke sungai untuk melarikan diri daripada polis dalam serbuan di jeti Pengkalan Petah di sini ditemukan lemas, petang semalam.
Mayat lelaki berusia 38 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 7 malam pada jarak 10 meter dari lokasi dia dikatakan terjun.
Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pada pukul 4.36 petang pihaknya menerima panggilan mengatakan seorang lelaki telah bertindak melarikan semasa serbuan Ops Tapis Khas Se-Malaysia dengan terjun ke sungai.
Menurutnya, semasa serbuan itu suspek telah terjun ke sungai dari bot nelayan yang dinaiki dan dipercayai tenggelam sesama cuba berenang ke tebing.
“Selepas itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakan dengan bantuan pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bachok untuk mengesan mangsa.
“Pada pukul 7 malam, mangsa telah ditemukan lemas pada jarak 10 meter dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamad Ismail memberitahu, hasil semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod positif dan memiliki dadah.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedan siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Dalam serbuan itu juga, polis turut menahan dua lagi suspek lain di kawasan jeti tersebut.
“Bukan itu sahaja, dua lagi suspek turut diberkas di kawasan jeti Kemasin. Kesemua saspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN










