KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Nepal ditahan kerana menceroboh sebuah inap desa di Kampung Perwira Jaya Ampang Hilir, di sini, semalam.
Kejadian itu disedari bapa saudara pemilik inap desa terbabit pada pukul 1 petang selepas terlihat seorang lelaki cuba menceroboh kediaman berkenaan sebelum dimaklumkan kepadanya.
Pemilik inap desa bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki yang tidak dapat dipastikan identitinya berada di ruang tamu kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, ekoran kejadian itu, pemilik inap desa terbabit menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.
“Sepasukan anggota polis peronda (MPV) tiba di lokasi kira-kira pukul 3 petang dan menahan suspek untuk tindakan lanjut.
“Semakan mendapati suspek adalah seorang lelaki warga Nepal, bagaimanapun dia gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif suspek menceroboh inap desa terbabit dan mengesyaki lelaki itu mengalami masalah mental.
“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek negatif dadah.
“Suspek kini direman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.- UTUSAN










