PETALING JAYA: Lebih 6.65 juta kenderaan menggunakan lebuh raya utama di seluruh negara dalam tempoh tiga hari sejak Khamis lalu hingga semalam sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, secara keseluruhan sebanyak 5.78 juta kenderaan menggunakan lebuh raya menghala ke utara dan selatan serta timur dengan purata 1.92 juta kenderaan dalam satu masa.
Katanya, Lebuh Raya Karak merekodkan sebanyak 886,106 kenderaan dengan purata 295,369 kenderaan pada satu masa.
“JSPT menjangkakan berlaku peningkatan kenderaan sepanjang tempoh Op Selamat 21 berikutan cuti panjang sempena perayaan terutama membabitkan pergerakan antara daerah dan negeri.
“Pengguna jalan raya mengambil kesempatan untuk melawat saudara mara dan ke destinasi pelancongan dan situasi ini membabitkan pergerakan melalui lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri serta bandaran.
“Dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Op Selamat 21 bermula Khamis lalu hingga semalam, sebanyak 4,764 kes kemalangan membabitkan 5,891 kenderaan direkodkan di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Mohd. Azman, daripada jumlah itu, sebanyak 44 kes kemalangan maut direkodkan dengan 46 kematian.
Jelasnya, seramai 32 orang atau 69 peratus daripada keseluruhan kes kematian itu membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
“Semua pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal supaya bekerjasama, berhemah dan berhati-hati serta fokus kepada pemanduan,” katanya.
Tambahnya, penggunaan aplikasi My-TTA Plus juga dapat membantu pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan dan berehat seketika apabila kepenatan di dalam kesesakan lalu lintas. – UTUSAN










