ISKANDAR PUTERI: Seorang wakil Barisan Nasional (BN) mencadangkan supaya isu persempadanan semula di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi diusulkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan wakil rakyat dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih efisien.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, persempadanan semula itu perlu dibuat membabitkan kawasan yang mempunyai jumlah pengundi lebih 80,000 orang.
Katanya, dengan jumlah pengundi yang terlalu tinggi melebihi 100,000 bagi sesetengah kawasan, sukar bagi wakil rakyat untuk 100 peratus menyantuni kesemua pengundi, seterusnya menyelesaikan isu setempat.
“Bagi DUN Kota Iskandar terdapat lebih 120,000 pengundi, jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding beberapa DUN lain seperti DUN Tanjung Surat, Layang-Layang dan Machap yang mempunyai kira-kira 30,000 pengundi sahaja.
“Itu baru jumlah pengundi, jumlah penduduk di kawasan itu dianggarkan hampir 400,000 orang, jurang ini menyebabkan pembahagian peruntukan tak seimbang, malah sebagai wakil rakyat sukar untuk menjaga kawasan terlalu besar.
“Pandangan sebagai ADUN, memang perlu sangat persempadanan semula dibuat bagi kawasan yang mempunyai pengundi lebih 100,000, ini bagi memudahkan wakil rakyat beri khidmat terbaik kepada masyarakat setempat,” katanya selepas Program Ziarah Kasih di Kampung Pekajang, dekat sini hari ini.
Januari lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan tidak merancang untuk melaksanakan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah, namun sedang mempertimbangkan dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan kajian tersebut di Sarawak.
Pandak berkata, di negeri ini terdapat beberapa DUN yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, antaranya Kota Iskandar, Tiram, Puteri Wangsa, Kulai, Permas dan Skudai.
Katanya, perbincangan awal mengenai isu persempadanan semula itu ada dibincangkan di peringkat parti sebelum ini, namun tiada lagi diusulkan pada sidang DUN.
Katanya, usul itu boleh dilakukan dalam persidangan DUN Johor bulan depan dan sempat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
“Persempadanan semula ini boleh dibuat mengikut kesesuaian sama ada dipecahkan kepada dua atau tiga kawasan. Sebagai contoh ada Parlimen di Perlis yang mempunyai lima kawasan DUN di bawahnya, manakala Iskandar Puteri yang mempunyai kira-kira 230,000 pengundi hanya ada dua DUN sahaja.
“Bagaimanapun, saya akan ikut keputusan parti, Jika UMNO cakap untuk bawa usul ini, kita akan akur dan harapnya akan sempat untuk PRU-16. Soal beri kelebihan pada parti atau tidak, itu soal lain. Ada parti yang utamakan kepentingan dan hak masing-masing, namun kita kena lihat dari aspek khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










