KTMB, pemaju ambil tindakan awal, atas masalah banjir di Labu - Utusan Malaysia

KTMB, pemaju ambil tindakan awal, atas masalah banjir di Labu

J. ARUL Kumar (dua dari kiri) dan Mohamad Hanifah (kiri) meninjau satu pembangunan projek perumahan di Labu, Seremban susulan kejadian limpahan air ke kawasan perumahan terletak bersebelahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Masalah banjir yang sering berlaku di kawasan Kampung Labu Hilir, Kampung Pulau dan Taman Bakti YNS di Labu akan diatasi menerusi beberapa tindakan awal yang akan diambil oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan pemaju.

Pengerusi Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, masalah banjir yang berlaku di Kampung Labu Hilir adalah berpunca daripada pembentung yang kecil dan telah menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan cepat sehingga berlakunya banjir. 

“Pihak KTMB yang sedang melaksanakan projek menaik taraf landasan kereta api telah bersetuju untuk menggantikan pembentung yang lebih besar dan diletakkan di kawasan tersebut.

“Bagi masalah banjir di laluan kenderaan bawah landasan kereta api yang digunakan oleh penduduk kampung sejak sekian lama, pihak KTMB juga bersetuju untuk membersihkan laluan air dan akan memasang pembentung supaya dapat mengalirkan air ke tempat lain. 

“Kerja ini akan dilaksanakan semasa kerja-kerja menaik taraf landasan arah utara dimulakan,” katanya ketika dihubungi. 

Terdahulu, beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker bersama pegawai KTMB dan pemaju telah meninjau beberapa kawasan di Kampung Labu Hilir, Kampung Pulau dan Taman Bakti YNS Labu yang dinaiki banjir kelmarin.

Dalam pada itu, Arul Kumar memberitahu, bagi kes limpahan air dari Taman Bakti YNS ke kawasan perumahan sebelah pula, pihak pemaju bersetuju untuk menutup satu kolam takungan sementara yang terletak bersebelahan kawasan perumahan dalam tempoh masa sebulan dan mengalirkan air ke kolam takungan kekal.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×