SEOUL: Kerajaan Korea Selatan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kira-kira 10,000 doktor muda yang mogok dan membatalkan lesen perubatan mereka jika mereka tidak kembali bekerja pada hari ini.
Kira-kira tiga perempat daripada doktor muda negara itu berhenti kerja sejak minggu lalu, menyebabkan gangguan dan kelewatan pembedahan di hospital pengajar utama.
Hal ini berikutan doktor pelatih membantah rancangan kerajaan untuk memasukkan lebih ramai pelajar perubatan ke universiti setiap tahun untuk meningkatkan bilangan doktor dalam sistem.
Korea Selatan mempunyai salah satu nisbah doktor-ke-pesakit yang paling rendah dalam kalangan negara maju dan dengan populasi yang semakin tua.
Kerajaan itu juga memberi amaran akan berlaku kekurangan akut dalam tempoh sedekad.
Di Hospital St. Mary di Seoul minggu ini, koridor kosong memberikan gambaran tentang rupa masa depan itu.
Hampir tidak ada doktor atau pesakit untuk dilihat di kawasan di luar bilik kecemasan.
Ryu Ok Hada, seorang doktor berusia 25 tahun dan rakan sekerjanya sudah lebih seminggu tidak bekerja di hospital.
“Rasanya pelik tidak bangun pukul 4 pagi,” Ryu berseloroh.
Doktor muda itu memberitahu BBC dia sudah biasa bekerja lebih daripada 100 jam seminggu, selalunya selama 40 jam tanpa tidur.
“Sangat tidak siuman betapa kami bekerja dengan gaji yang sedikit,” katanya.
Walaupun gaji doktor di Korea Selatan agak tinggi, namun, Ryu berhujah bahawa dirinya dan doktor muda lain mendapat gaji kurang daripada gaji minimum.
Lebih ramai doktor tidak akan menyelesaikan masalah struktur dalam sistem penjagaan kesihatan yang menyebabkan mereka bekerja terlalu banyak dan kurang gaji, katanya.
Penjagaan kesihatan di Korea Selatan sebahagian besarnya diswastakan tetapi berpatutan.
Harga kecemasan, pembedahan menyelamatkan nyawa dan penjagaan pakar ditetapkan terlalu rendah manakala rawatan yang kurang penting, seperti pembedahan kosmetik akan dikenakan caj yang tinggi.
Perkara Ini memperlihatkan ramai doktor semakin memilih untuk bekerja dalam bidang yang lebih menguntungkan di bandar-bandar besar sekali gus menjadikan kawasan luar bandar kekurangan kakitangan. -BBC










