Kerajaan import bekalan bawang dari China, Thailand dan Pakistan - Utusan Malaysia

Kerajaan import bekalan bawang dari China, Thailand dan Pakistan

MOHAMAD Sabu (dua dari kiri) menyampaikan replika cek Program Bantuan Khas Tunai kepada pesawah sempena Lawatan ke Sawah Ring, Tangkak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Kerajaan akan mengimport bekalan bawang dari China, Thailand dan Pakistan bagi menampung keperluan dalam negara.

Walau bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, bekalan bawang mencukupi meskipun India melarang eksport bekalan itu hingga Mac depan. 

“Negara tidak ada mengalami kekurangan bekalan bawang, cuma harganya kini turun naik dalam pasaran. Negara boleh mendapatkan bekalan bawang dari negara pengeluar lain.

“Sekarang ini, bekalan bawang diimport dari China, Thailand dan Pakistan bagi menampung keperluan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sawah Ring, di sini hari ini.

Yang turut hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip.

Mohamad berkata, sekatan import bawang dari India bersifat sementara seperti larangan import bekalan beras putih sebelum ini dan selepas rundingan diadakan, negara itu setuju menjual 170,000 tan metrik beras kepada Malaysia.

“Kadangkala India berdepan masalah dalam negara mereka. Kita perlu hormat kerana larangan eksport yang dilakukan itu untuk keperluan rakyat dan negara mereka,” katanya.

Pada 8 Disember lalu, India yang menyumbang sebanyak 36 peratus kepada import bawang ke Malaysia melarang eksport sehingga Mac depan bagi meningkatkan bekalan domestik selain membendung inflasi pengguna di negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×