Kenderaan, minyak diesel bernilai lebih RM180,000 disita di Temerloh - Utusan Malaysia

Kenderaan, minyak diesel bernilai lebih RM180,000 disita di Temerloh

PEGAWAI Penguatkuasa KPDN Cawangan Temerloh memeriksa minyak diesel yang diisi ke dalam tong tanpa permit khas di sebuah stesen minyak di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Temerloh menyita dua kenderaan pacuan empat roda beserta minyak diesel dianggarkan bernilai RM184,663 dalam Ops Tiris 4.0 di dua stesen minyak sekitar daerah ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Cawangan Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, dalam Ops Tiris 4.0 khas sempena musim cuti sekolah dan Tahun Baharu Cina itu, dua suspek ditahan pukul 11 pagi semalam dan 7 malam tadi ketika sedang mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam tong jerry can dan tong dram.

“Dalam operasi yang dijalankan pada sebelah pagi semalam, individu ditahan membeli minyak diesel bersubsidi yang diisi dalam empat tong jerry can di stesen minyak tanpa sebarang surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

“Seorang lagi individu ditahan ketika membuat pembelian minyak diesel bersubsidi melebihi had kuantiti yang dibenarkan sebagai mana permit,” katanya di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, KPDN Temerloh menyita minyak diesel dan kenderaan serta dokumen yang terlibat di dua lokasi kejadian membabitkan nilai rampasan RM184,663.95.

Sementara itu katanya, dalam Ops Tiris 1.0, 2.0 dan Ops Tiris 3.0 di Bandar Tun Abdul Razak Jengka dan Temerloh minggu lalu, pihak KPDN Temerloh turut menahan empat lelaki tempatan dan nilai rampasan sebanyak RM239,080,945.

Menurutnya, KPDN Cawangan Temerloh memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan kerajaan.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya dan bagi syarikat pula denda sehingga RM2 juta di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN