JOHOR BAHRU: Dasar-dasar yang digubal bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi kaum Melayu dan bumiputera yang gagal mencapai matlamatnya perlu dibincangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024), akan datang.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hal itu kerana walaupun dasarnya lengkap dan sesuai, namun pelaksanaannya gagal mencapai kumpulan sasar.
Sebaliknya, bantuan disediakan kerajaan melalui dasar-dasar berkaitan dimonopoli ahli keluarga dan kroni daripada golongan elit politik Melayu yang berkuasa, ketika itu.
“Saya tidak minta mansuhkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya saya minta teliti kegagalan pelaksanaannya. Apa yang ada dalam Perlembagaan sudah mencukupi, tidak perlu diubah, tetapi kita perlu lihat kejayaan pelaksanaannya.
“Ini bermakna dasar-dasar yang baik itu telah di ‘hijack’ oleh segelintir individu untuk kepentingan diri mereka, saya tidak persoalkan dasar di dalam Perlembagaan itu sendiri,” kata beliau selepas menyampaikan bakul makanan kepada 30 penerima di Rumah Pangsa Permas Jaya, di sini.
SEMAKAN
Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak perlu membuat semakan terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Beliau sebaliknya menyatakan Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor turut berkata, kegagalan pelaksanaan dasar-dasar melibatkan orang Melayu dan bumiputera dapat dilihat khususnya apabila berlaku pendakwaan di mahkamah terhadap orang politik.
“Antara buktinya apabila bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ini elit Melayu, elit bumiputera jadi mereka ini yang mendapat manfaat. Tapi usahawan Melayu yang betul-betul tidak dapat, rakyat Melayu miskin dan bergaji rendah tak dapat. Begitu juga ramai orang Cina dan India pun miskin. Saya persoalkan pelaksanaan dasar, ini yang Anwar cakap orang kaya-kaya Melayu merompak dan sakau.
“Mereka gunakan pelaksanaan dasar ini yang sepatutnya peniaga Melayu yang susah ditolong tetapi mereka yang dapat. Ini bukan sahaja melibatkan kerajaan lama, tetapi juga yang memerintah semasa pandemik Covid-19 baru-baru ini,” ujar beliau.
Sebelum ini, Hassan dalam satu kenyataan menggesa KEB 2024 yang akan berlangsung bermula 29 Februari hingga 2 Mac untuk meneliti semula kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera sama ada ia benar-benar memberi manfaat kepada golongan itu. – UTUSAN









