KUALA LUMPUR: Bekas Penasihat Undang-Undang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Low Taek Jho atau Jho Low kerap melakukan pelbagai tindakan yang membolehkannya dilihat sebagai proksi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Saksi pendakwaan ke-50 (SP50) itu berkata, ahli perniagaan dalam buruan itu selalu menggunakan pengaruhnya sebagai individu yang rapat dengan Najib yang merupakan Perdana Menteri dan Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat pelaburan itu.
Menurut Jasmine, kebanyakan perkara beşar yang memerlukan kelulusan Najib perlu dibincangkan
dahulu dengan Jho Low sebelum dibawa kepada Perdana Menteri.
“ Ada kalanya Jho Low akan meminta saya menyediakan dokumen syarikat yang memerlukan tandatangan Datuk Seri Najib dan saya akan menyediakannya. Saya akan memaklumkan terlebih dahulu kepada Datuk Shahrol permintaan Jho Low.
“Setelah saya serahkan dokumen-dokumen tersebut, saya tidak tahu bagaimana Jho Low mendapatkan tandatangan Datuk Seri Najib,” ujarnya ketika membaca pernyataan saksi.
Ujarnya, sepanjang saya berkhidmat di 1MDB, beliau hanya bertemu Najib dalam apa-apa acara atau mesyuarat berkaitan 1MDB secara beramai-ramai
bersama pengurusan syarikat, namun tidak pernah bersemuka secara bersendirian atau secara terus dengan beliau.
Jasmine, 50, memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib, 71, yang menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Dalam pernyataan itu, saksi turut menceritakan beliau pernah bekerja di UBG Berhad, yang mana Jho Low adalah pengarahnya dengan gaji hampir RM45,000 sebulan termasuk elaun lain seperti elaun kenderaan, elaun minyak dan elaun perjalanan bermula 1 Januari 2009 sehingga April 2011.
Ujar beliau, kali pertama bertemu Jho Low ketika menghadiri satu temuduga dengan syarikat itu.
“Pada Oktober 2008, saya dapat tahu ada peluang pekerjaan di UBG Berhad iaitu syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Tawaran pekerjaan itu adalah untuk menjaga hal ehwal undang-undang syarikat di bawah kumpulan UBG Berhad.
“Selepas itu, saya telah menghadiri satu temuduga dengan pihak UBG Berhad di mana saya telah berjumpa untuk pertama kalinya dengan Jho Low selaku pengarah UBG Berhad.
“Saya telah berjaya dalam temuduga tersebut dan menerima satu tawaran dari UBG Berhad sebagai Pengarah Eksekutif Undang-undang,” ujarnya dalam pernyataan saksinya setebal 63 muka surat.
Ketika menceritakan penglibatannya dalam syarikat 1MDB, Jasmine berkata, pada awal 2011, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Halmi telah menghubunginya untuk menawarkan peluang menyertai 1MDB sebagai peguam tetapi beliau tidak memberi sebarang jawapan pada waktu itu kerana beliau tidak bersedia.
“Selepas itu, Shahrol Azral sering menghubungi saya, dan Jho Low juga memberitahu saya bahawa sekiranya saya menyertai 1MDB, dia (Jho Low) tidak mempunyai sebarang halangan tetapi Jho Low tidak memaksa saya untuk menyertai 1MDB,” katanya sambil menambah dia mula bekerja di 1MDB bermula Mei 2011 sehingga November 2013.
Ketika menceritakan mengenai Shahrol Azral, saksi berkata beliau berjumpa Shahrol Azral buat pertama kali di UBG Berhad apabila UBG Berhad membuat satu projek dengan syarikat Accenture Consulting pada awal tahun 2009.
“Shahrol Azral merupakan rakan kongsi yang mengendalikan projek tersebut. Selepas beliau meninggalkan Accenture Consulting, beliau sering hadir ke pejabat UBG Berhad untuk bermesyuarat dengan Jho Low, wakil dari Goldman Sachs dan pasukan yang mengasaskan penubuhan syarikat Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) yang kemudiannya bertukar nama kepada 1MDB,” ujarya.
Menurut Jasmine, beliau tidak terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut namun mengetahui kehadiran mereka di pejabat UBG Berhad.
Mengenai tugasannya di 1MDB, saksi berkata tugasan awalnya adalah untuk meneliti dokumen-dokumen usahasama yang telah dimeterai oleh 1MDB dengan Petrosaudi International Limited
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.










