JBQR bantu promosi pelancongan JB secara digital - Utusan Malaysia

JBQR bantu promosi pelancongan JB secara digital

RAVEN KUMAR mengimbas kod QR pada Majlis Pelancaran JBQR di Jotic, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengenalan kod respons pantas atau kod QR, iaitu JBQR bakal mentransformasikan sektor pelancongan negeri ini khususnya bandar raya ini menjelang  Tahun Melawat Johor 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, usaha itu adalah satu langkah baik dalam mendigitalkan sektor pelancongan negeri ini, selari dengan perkembangan teknologi terkini.

Menurutnya, kod QR JBQR adalah lokasi kedua kemudahan itu dilaksanakan selepas Kuala Lumpur menerusi KLQR.

“Sekarang semakin kurang orang membuat tempahan pelancongan menggunakan kaedah konvensional, sebaliknya majoriti kini membuat tempahan pelancongan secara dalam talian. Jad, ini satu inisiatif yang baik.

“Perkara ini selari dengan usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan tempat-tempat menarik di Johor Bahru sempena Tahun Melawat Johor 2026,” katanya pada Majlis Pelancaran JBQR di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim; Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif JBQR, Sukhbir Singh.

Raven Kumar berkata, kemudahan itu juga selari dengan inisiatif hijau yang menyaksikan maklumat berkaitan lokasi dan bangunan-bangunan menarik disampaikan secara digital berbanding penggunaan risalah.

Sementara itu, Sukhbir Singh memberitahu, pihaknya menyasarkan sehingga satu juta pengguna JBQR menjelang akhir tahun ini.

“Keputusan memilih Johor Bahru selepas Kuala Lumpur adalah disebabkan lokasi ini merupakan antara bandar utama dalam Malaysia yang juga berhampiran dengan Singapura.

“Kita berharap pelancong domestik dan antarabangsa dapat mengenali lebih lanjut destinasi-destinasi menarik yang ada di bandar raya ini, menerusi cara itu mereka akan lebih memahami sejarah di sebaliknya,” jelasnya sambil memaklumkan akan memperluaskan kemudahan itu ke Iskandar Puteri, selepas ini.

Dalam pada itu, Mohd. Noorazam yakin kemudahan itu akan dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke bandar raya ini, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat, khususnya para peniaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN