GEORGE TOWN: Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang mahu semua pihak tidak terburu-buru mengeluarkan fatwa mengenai hukum daging kultur sebagai sumber alternatif daging.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, sebelum mengeluarkan fatwa, pihak-pihak tersebut perlu memastikan terlebih dahulu bahan-bahan yang ditambah untuk penghasilannya dan kesannya ke atas kesihatan manusia.
“Fatwa dalam isu sedemikian perlu didasarkan kepada beberapa kaedah fiqh seperti ad-dharar yuzal (menghindari kemudaratan); dar’ul mafsadah muqaddam ‘ala jalbil maslahah (menyingkir kerosakan didahulukan daripada memperoleh kepentingan) dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mendapati bahawa daging kultur secara amnya halal atau dibenarkan dimakan oleh orang Islam sekiranya ia memenuhi syarat.
Menurut kenyataan MUIS pada Sabtu lalu, keputusan fatwa tersebut sejajar dengan peningkatan penekanan sejagat terhadap pengeluaran makanan mampan.
Daging kultur, menurut MUIS, merujuk kepada daging yang dihasilkan menggunakan teknik penumbuhan sel, sama ada melalui penumbuhan tisu, atau sel tunjang yang diambil daripada haiwan.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, semua pihak juga perlu menunggu fatwa atau pandangan daripada institusi-institusi fatwa berwibawa di peringkat global tentang isu tersebut seperti Asembli Fatwa Sedunia, Lembaga Fatwa Mesir di Universiti al-Azhar dan seumpamanya.
”Buat masa kini kita rasa dalam konteks Malaysia masih belum terdesak untuk mengeluarkan fatwa yang muktamad dalam isu daging kultur ini,” katanya. – UTUSAN










