Imam Muda Khairi dipecat parti Muda  - Utusan Malaysia

Imam Muda Khairi dipecat parti Muda 

Khairi Zulfadhli Abu Bakar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (Muda) memecat seorang ahli jawatankuasa pusatnya berkuat kuasa 2 Februari lalu. 

Khairi Zulfadhli Abu Bakar yang merupakan Ketua Biro Teknologi Pusat Muda berkongsi perkembangan itu dalam satu hantaran ringkas di aplikasi X semalam, beserta cetakan surat pemecatannya sebagai ahli parti bertarikh 3 Februari 2024. 

Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan alasan pemecatannya daripada parti yang diasaskan bekas Presiden Muda merangkap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hari ini (semalam), saya telah dipecat daripada parti Muda. Saya tidak berhasrat untuk membincangkan lebih lanjut perihal pemecatan ini. Semoga maju jaya dan jumpa lagi dalam perlawanan akan datang. Jalan terus,” katanya. 

Berdasarkan surat pemecatan dilihat Utusan Malaysia, surat itu menyatakan: 

“Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda yang bersidang pada 2 Februari 2024 telah membuat keputusan memecat saudara dari jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat dan sebagai ahli parti Muda.” 

BERBALOI

Hantaran itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi menyatakan: “Alhamdulillah, sekarang baru berbaloi untuk mengikuti X anda,”

Khairi Zulfadhli bukan dalam kalangan pimpinan Muda yang sering mendapat perhatian dan liputan media, bagaimanapun, dia sebelum ini didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan dan menghina institusi raja serta Perdana Menteri pada 2022. 

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) pernah menggesa pihak polis menyiasat dua pemilik akaun di media sosial (termasuk Khairi Zulfadhli) yang didakwa melakukan perbuatan itu dalam hantarannya yang didapati berbahaya  atas alasan dia adalah individu berpengaruh.

Bagi Ummah, perbuatan itu boleh menyebabkannya didakwa di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

  Hantaran Khairi Zulfadhli itu menyebut: “Ringgit jatuh, ibu kota banjir, kerajaan korup, pencuri makan dengan raja, ayam sekilo 9 ringgit, rumah mahal, gaji murah, menteri beruk, Perdana Menteri lembik. Kadang-kadang aku kecewa dengan negara sendiri.”

Pada tahun sama, Khairi Zulfadhli yang juga Imam Muda pernah menulis di media sosial menyarankan supaya Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menutup akaun Twitter dan kembali membaca buku sejarah dan undang-undang. 

Kenyataan itu dianggap biadab terhadap institusi raja dan ditulis sebagai balasan kepada ciapan asal yang dimuat naik pemilik Kelab Bola Sepak, Johor Darul Takzim (JDT) itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini