MARAN: Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bertindak segera dalam menangani cabaran ekonomi secara mampan dan memberikan fokus kepada kesejahteraan rakyat.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, penurunan nilai ringgit Malaysia yang kini berada pada paras 4.76 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, begitu membimbangkan sekali.
Beliau mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga Menteri Kewangan, seolah-olah sedang membawa negara ini ke kancah ekonomi rapuh seperti mana keputusan dan dasar beliau yang meragukan serta tanpa kesan baik serta meluas untuk rakyat.
“Amat mengecewakan sekali menyaksikan Anwar, graduan dalam bidang pengajian bahasa dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, seorang akauntan dipertanggungjawabkan untuk memimpin ekonomi negara.
“Kesannya semakin jelas dengan keputusan mereka yang seperti tiada hala tuju dan sedang membawa ekonomi kita menuju krisis ekonomi.
“Anwar seperti tidak peduli dengan kesukaran dan cabaran kewangan yang dihadapi oleh orang ramai. Tidak dapat dinafikan, sebahagian mereka terpaksa bergantung hidup dengan membuat pinjaman bagi meneruskan kehidupan,” dakwanya dalam kenyataan di sini.
Jasri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul mendakwa, petunjuk ekonomi menunjukkan prestasi ekonomi negara semakin merudum, diburukkan dengan kadar pengangguran yang tinggi dan ini semua menyumbang kepada keadaan kewangan yang begitu mencabar secara keseluruhannya.
“Selain itu, kadar inflasi juga terus meningkat, sekali gus memberi kesan kepada harga barang dan perkhidmatan dan akhirnya, mempengaruhi penurunan nilai mata wang kita. Kuasa beli rakyat juga semakin menurun dan berkurangan.
“Ketidakstabilan politik pula semakin mengancam krisis ekonomi yang melanda. Ternyata, sejak beliau memegang tampuk pemerintahan negara, ekonomi negara semakin jauh ke belakang, berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini,” dakwanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, cukup cukuplah segala omong kosong dan janji palsu reformasi untuk mensejahterakan negara ini.
“Saya menyeru kepada seluruh rakyat untuk terus memperjuangkan isu-isu penting tentang kehidupan rakyat melalui platform media sosial masing-masing.
“Moga apa yang dilakukan akan menyedarkan kerajaan untuk segera mencari penyelesaian tuntas terhadap segala permasalahan rakyat dan negara yang semakin meruncing,” katanya. – UTUSAN










