Generasi baharu politik tersepit dendam lama - Wan Saiful - Utusan Malaysia

Generasi baharu politik tersepit dendam lama – Wan Saiful

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan landskap politik negara ketika ini masih menyaksikan generasi baharu tersepit  dalam dendam politik lama.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, semua pihak perlu bersama-sama berusaha untuk mewujudkan satu budaya politik yang lebih bermaruah dan berakhlak demi kebaikan bersama.

Menurut beliau, pemimpin-pemimpin politik baharu tidak sepatutnya terikut-ikut dan menjadi jurucakap kepada pemimpin yang masih mengamalkan budaya politik lama.

“Mungkin masih ada beberapa individu yang ada sejarah atau dendam lama yang belum selesai. Kadang-kadang kita generasi baharu politik pun ada yang tersepit dalam dendam lama, dan kita jadi mangsanya.

“Dengan itu, saya mengambil peluang  untuk menyeru kepada semua agar kita gunakan ruang yang ada untuk berusaha mewujudkan suasana politik lebih matang, yang berteraskan ilmu dan bukan lagi politik fitnah dan dendam,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata demikian selepas menerima permohonan maaf daripada pempengaruh, Mohd. Shukri Shamsudin yang membuat tuduhan palsu terhadap beliau dalam satu video yang tular.

Wan Saiful berkata, di dalam video tersebut, Mohd. Shukri memberi gambaran bahawa beliau bersalah dan bersedia mengembalikan wang supaya pertuduhan yang dikenakan terhadapnya ditarik balik oleh pihak pendakwa.

“Sedangkan sebenarnya saya kekal dengan pendirian bahawa pendakwaan ke atas saya adalah pendakwaan terpilih bermotif politik.

“Ini adalah tindakan pertama saya. Selepas ini, saya beri amaran, jangan ada lagi sesiapa pun yang cuba memfitnah saya. Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang yang sama sekiranya ada sesiapa yang cuba mencemarkan nama baik saya,” katanya.

Katanya, beliau enggan menuntut pampasan tunai daripada Mohd. Shukri dan hanya menerima permohonan maaf kerana bersimpati dengan individu tersebut yang tidak mempunyai kemampuan kewangan.

“Saya bersimpati dan bersetuju untuk tidak membuat tuntutan pampasan. Mohd. Shukri ada menyatakan ucapan terima kasih kepada saya semasa dalam mahkamah tadi,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN