TEMERLOH: Balu pelakon Allahyarham Abdul Kadir Abdul Manaf atau lebih dikenali sebagai Pak Jabit bersyukur kerana hasrat memiliki mesin bantuan oksigen tertunai apabila menerima sumbangan daripada Menteri Komunikasi dan Digital petang kelmarin.
Raja Maharani Raja Jaafar, 70, tidak menyangka menteri berkenaan, Fahmi Fadzil datang sendiri ke rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Lanchang untuk menyampaikan sumbangan mesin bernilai kira-kira RM4,000.
Menurutnya, menteri terbabit meluangkan masa kira-kira 30 minit berbual serta memberi nasihat supaya menjaga kesihatan dan bersabar menempuh dugaan hidup.
“Saya terkesima atas kesudian seorang menteri ke rumah kecil saya untuk bertanya khabar selain menyampaikan mesin bantuan oksigen yang begitu diperlukan.
“Kini, saya dan keluarga tidak perlu lagi menggunakan mesin bantuan oksigen yang disewa daripada sebuah farmasi sebanyak RM320 sebulan yang membebankan kewangan keluarga. Saya pun tidak mahu menyusahkan anak-anak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Raja Maharani kini dijaga anaknya, Abdul Khalid Putera, 33, di Kampung Rantau Panjang, Lanchang, di sini.
Abdul Khalid mengakui kehadiran Fahmi menziarahi ibunya yang terlantar sakit begitu mengujakan sekali gus menghilangkan rasa tidak dipedulikan oleh insan seni.
“Saya lega dan berterima kasih dengan sumbangan mesin itu kerana telah meringankan beban kewangan keluarga yang perlu membayar sewa RM320 sebulan. Saya pula hanya kerja kampung,” katanya.
Allahyarham Abdul Kadir@Pak Jabit meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lanchang ketika berusia 68 tahun pada 7 September 2017 akibat masalah jantung.
Pak Jabit mula terkenal dalam beberapa filem komedi kebanyakannya arahan Allahyarham Mamat Khalid iaitu Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Abdul Khalid di talian 0133804822. – UTUSAN










