DUN Ampangan muncul juara keseluruhan Suknes 2024 - Utusan Malaysia

DUN Ampangan muncul juara keseluruhan Suknes 2024

MUSTAPHA Nagoor (baris belakang, tengah) menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (Suknes) Tahun 2024 di Centre Court, Kompleks Sukan Paroi, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan mencul johan keseluruhan bagi Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (Suknes) Tahun 2024 yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini.

DUN Ampangan dipilih selepas pasukan meraih juara bagi acara sepak takraw selain memenangi tempat ketiga bagi acara futsal dan bola jaring.

Selaku johan, pasukan itu membawa pulang piala dan hadiah kemenangan wang tunai sebanyak RM5,000.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor pada Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (Suknes) Tahun 2024 di Centre Court, Kompleks Sukan Paroi di sini hari ini.

Mustapha yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong dalam pada itu memberitahu, penganjuran kejohanan tersebut berjaya mencapai objektifnya apabila ramai bakat-bakat baharu sukan berjaya dikenal pasti seterusnya untuk mewakili Negeri Sembilan.

“Kejohanan ini menampilkan peserta daripada keseluruhan 36 DUN di negeri ini, saya difahamkan oleh beberapa persatuan sukan di negeri ini, mereka berjaya mengenal pasti bakat-bakat muda yang boleh mengharumkan nama negeri termasuk di Sukan Malaysia (Sukma) dan untuk negara suatu hari nanti,” katanya.

Seramai 2,000 orang atlet dan pegawai menyertai Suknes 2024 yang mempertandingkan empat acara sukan utama iaitu badminton, futsal, sepak takraw dan bola jaring.

Di peringkat DUN, kejohanan telah berlangsung pada 27 hingga 28 Januari dan 3 hingga 4 Februari lalu manakala acara kemuncak di peringkat negeri pula berlangsung sejak 16 Februari lalu dan berakhir 18 Februari 2024.

Selain acara sepak takraw yang dimenangi pasukan DUN Ampangan, acara futsal telah dimenangi oleh DUN Sikamat manakala acara bola jaring dan badminton masing-masing dimenangi pasukan DUN Chembong dan DUN Lukut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×